Search This Blog

Monday, December 28, 2009

Esei Keusahawanan (Tempat Keempat peringkat daerah)

JELASKAN SUMBANGAN USAHAWAN DESA TERHADAP INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA





Usahawan didefinisikan sebagai pengusaha iaitu orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan. Desa pula bermaksud kampung iaitu kawasan luar kota. Ini dapat disimpulkan bahawa usahawan desa membawa maksud individu di kawasan kampung yang berupaya mengenal pasti peluang-peluang perniagaan, menghasilkan idea-idea perniagaan, memperkenalkan sesuatu yang baru dan melakukan inovasi. Pelancongan negara merupakan aktiviti melawat sambil melihat-lihat sesuatu tempat di dalam negara tersebut sama ada mereka datang dari dalam atau luar negara secara individu, berpasangan atau berkumpulan.

Tidak dinafikan bahawa usahawan desa mempunyai banyak sumbangan terhadap pelancongan negara. Antaranya ialah dapat meningkatkan taraf hidup penduduk kawasan sekitar. Penduduk dapat menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan , dengan cara ini pendapatan penduduk dapat dijana dengan lebih lumayan. Ini disebabkan oleh kawasan pelancongan merupakan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dalam atau luar negara. Pelbagai peluang pekerjaan juga dapat ditawarkan seperti pengusaha “chalet”, pemandu pelancong, pengusaha “homestay” dan sebagainya. Secara tidak langsung, kadar pengangguran dalam kalangan penduduk akan berkurangan. Dengan itu, ekonomi negara akan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik. Tegasnya, usahawan desa dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran negara dan meningkatkan pendapatan penduduk desa.
Usahawan desa juga mampu memajukan industri hiliran yang dapat menjual produk yang berasaskan hasil daripada pertanian dan haiwan. Perusahaan yang diusahakan mampu mendatangkan pendapatan yang lumayan khususnya kepada penduduk desa. Selaras dengan kempen “Cita rasa Malaysia untuk dunia” yang dilancarkan oleh kerajaan mampu menarik lebih ramai pelancong asing dan tempatan untuk datang ke kawasan tersebut bagi mendapatkan produk-produk yang dijual oleh usahawan desa. Kempen yang dilancarkan bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti malah mampu meningkatkan sumber pendapatan usahawan desa. Tidak dapat dinafikan bahawa Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan industri pelancongan dapat dimajukan setanding dengan industri-industri lain yang terdapat di Malaysia.

Kadar pelaburan yang diterima daripada pelabur asing dan tempatan juga dapat ditingkatkan. Para pelabur dapat melihat prospek kemajuan dalam jangka masa panjang jika mereka melakukan pelaburan di kawasan tersebut seperti yang telah dilakukan di Desaru, Johor. Pelbagai kemajuan dan kemudahan telah dibangunkan seperti industri kraf tangan, perusahaan kereta sewa, perusahaan restoran berasaskan makanan laut yang dapat digunakan sebagai ranap petulang, ijuk penebal kepada golongan usahawan desa. Selain itu, mereka bertungkus lumus untuk mempromosikan kawasan pelancongan yang terdapat di tempat mereka. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk mempromosikan kawasan pelancongan di tempat mereka seperti menggunakan media cetak, elektronik atau melalui bantuan kerajaan. Mereka percaya bahawa kemasukan para pelabur dapat membangunkan kawasan mereka dengan lebih maju kerana Malaysia memiliki kawasan pelancongan yang menarik untuk dilawati.

Tidak berwap nasi dingin untuk mengatakan bahawa usahawan desa tidak mengenal erti jemu untuk terus membawa industri pelancongan negara setaraf dengan industri pelancongan di negara asing. Kementerian Pelancongan bersama-sama Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan telah berganding bahu untuk membawa industri pelancongan negara duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara asing. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Malaysia semenangnya mempunyai kawasan pelancongan yang menarik, cantik serta udara yang nyaman. Disebabkan itu, kerajaan telah memperkenalkan agro-pelancongan agar dapat mempertingkat mutu pelancongan serta meningkatkan kadar kemasukan pelancong asing ke dalam negara. Tambahan itu, usahawan desa juga berusaha memajukan industri kraf tangan seperti batik dan songket sebagai identiti Malaysia yang kini semakin mendapat tempat di mata dunia kerana kehalusan seninya.

Diimbau berbunyi, dilihat bersua apabila kawasan pelancongan negara banyak terdapat di desa kerana faktor persekitaran dan alam semula jadinya. Faktor- faktor seperti ini telah menarik ramai pencinta alam untuk melancong ke Malaysia kerana terdapat banyak spesies flora dan fauna yang jarang ditemui. Atas inisiatif untuk memajukan industri pelancongan negara, kerajaan telah memperkenalkan Malaysia sebagai rumah kedua. Dengan itu, usahawan desa bertungkus lumus memperkenalkan
kawasan tersebut kepada umum agar sentiasa dikunjungi oleh peminat-peminatnya. Begitu juga dengan kebudayaan dan sejarah yang terdapat di Malaysia turut diperkenalkan oleh usahawan desa ini agar masyarakat asing akan dapat memahami dan mengetahui dengan lebih lanjut selain dapat menambah pengalaman, pengetahuan serta merasai sendiri kemakmuran yang dikecapi oleh negara Malaysia yang dapat hidup bersama-sama dengan mereka yang berlainan kaum, bangsa dan agama.

Natijahnya, inisiatif usahawan desa perlulah dihargai kerana mereka telah memberi banyak sumbangan besar dan bernilai untuk memajukan industri pelancongan negara tanpa disedari. Ini disebabkan oleh, mereka mengetahui bahawa industri ini mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada negara. Oleh itu, usahawan desa sememangnya amat diperlukan untuk menjayakan dasar kerajaan yang telah diagendakan kerana tanpa mereka kejayaan yang telah dikecapi hari ini amat sukar untuk diperolehi.




-Nur Izzah 2009-

2 comments: