Search This Blog

Monday, December 28, 2009

Keusahawanan

“Usahawan merupakan peneraju ekonomi Negara. Mereka memainkan peranan yang sangat penting terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Sumbangan usahawan amat penting dalam usaha wewujudkan masyarakat yang makmur.”
Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan sumbangan usahawan dari sudut mikro dan makro.





Usahawan merupakan peneraju ekonomi negara. Usahawan yang inovatif dan sanggup mengambil risiko akan menggabungkan faktor – faktor pengeluaran seperti tanah, buruh dan modal dengan berkesan untuk menghasilkan barang dan perkhidamatan. Manakala, keusahawanan pula ialah suatu proses tindakan kreatif manusia untuk membangunkan sesuatu yang baru. Kerajaan telah menekankan pembangunan keusahawanan kerana dapat memberi sumbangan ke arah usaha Kerajaan Malaysia untuk menyusun semula masyarakat. Tokoh usahawan Malaysia seperti Tan Sri Rozali Ismail dan Datuk T. Ananda Krishnan telah memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan masyarakat dan negara yang makmur. Oleh itu, sumbangan usahawan boleh dilihat dari sudut mikro dan makro.

Terdapat beberapa sumbangan usahawan dalam sudut mikro. Sumbangan usahawan dalam aspek ini ialah mereka dianggap sebagai sumber atau pencetus idea baru dalam pra-penubuhan, semasa dan selepas penubuhan firma. Idea yang dijana tidak semestinya asli, namun dapat menggalakkan penghasilan produk atau perkhidmatan yang baru. Penghasilan produk atau perkhidmatan baru ini dapat menambahkan nilai barangan atau perkhidmatan tersebut. Sebagai contoh, telefon bimbit berjenama Nokia hanya boleh membuat panggilan pada tahun 80-an. Apabila penyelidikan dan pembaharuan berlaku, telefon bimbit mempunyai fungsi yang berbagai seperti perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), mendengar lagu, mengambil gambar dan sebagainya. Dengan ini, telefon bimbit mempunyai kegunaan baru dan bertambah nilai. Oleh hal yang demikian, sumbangan usahawan dalam menjana idea baru adalah sangat penting.

Selain itu, usahawan yang melihatkan masalah yang wujud sebagai peluang idea perniagaan juga mempunyai sumbangan. Dengan wujudnya peluang dan idea baru, usahawan akan melaksanakan perancangan. Perancangan mengenai struktur perniagaan, penyelidikan dan penghasilan produk atau perkhidmatan baru akan dijalankan. Misalnya, apabila berlaku jerebu yang menjejaskan kualiti udara dan sistem pernafasan, usahawan akan menyelidik dan menghasilkan topeng mulut bagi masyarakat. Dengan ini, topeng mulut merupakan produk baru hasil daripada masalah yang wujud di persekitaran selaras dengan perancangan yang teliti sebelum penghasilan produk baru. Oleh hal yang demikian, sumbangan usahawan mewujudkan peluang perniagaan baru dari sudut mikro tidak boleh dinafikan.

Sumbangan usahawan juga terdapat dalam bidang yang lebih luas iaitu dalam aspek makro. Usahawan telah memberikan sumbangan yang amat besar dan penting kepada masyarakat dan negara kita. Antara sumbangan usahawan ialah mewujudkan peluang pekerjaan. Usahawan biasanya terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan, perkhidmatan, perindustrian dan sebagainya. Dengan ini, banyak peluang pekerjaan disediakan untuk masyarakat tempatan. Sebagai contoh, penubuhan HICOM dan syarikat penerbangan Air Asia telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan. Kewujudan peluang pekerjaan yang banyak dan mencukupi akan mengurangkan masalah pengangguran. Mengikut statistik, kadar pengangguran telah menurun dari 3.6% pada tahun 2000 kepada 3.4% pada tahun 2005. Secara tidak langsung juga, masalah sosial juga dapat dibanteras kerana mereka mempunyai pekerjaan dan kurang melakukan kegiatan yang tidak sihat.

Di samping itu, usahawan juga dapat menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara. Usahawan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi dan apabila sektor – sektor seperti perlombongan, pertanian dan perindustrian diaktifkan, ekonomi negara akan menjadi lebih mantap. Hal ini kerana sumber – sumber alam semula jadi akan diusahakan dan dapat merangsang ekonomi negara. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan mengalami pertumbuhan. Buktinya, kadar pertumbuhan KDNK telah melonjak dari 4.1% pada tahun 2002 kepada 7.1% pada tahun 2004. Dengan pertumbuhan yang memberangsangkan, kerajaan berupaya menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya bertar, klinik kesihatan dan lain – lain. Usahawan bukan sahaja dapat menyumbang dalam pembangunan negara, malah dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya.

Sumbangan usahawan dari sudut makro yang lain ialah memenuhi keperluan dan menambahkan pilihan barangan dalam pasaran. Masyarakat kita mempunyai keperluan dan kehendak yang perlu dipenuhi. Usahawan akan menghasilkan produk atau perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat. Usahawan telah menghasilkan pelbagai jenis barang keperluan asas seperti makanan, rumah, pakaian dan sebagainya dengan banyak variasi. Masyarakat akan mempunyai lebih banyak pilihan terhadap barangan asas. Barang mewah yang berteknologi tinggi dan berinovasi seperti kereta, komputer, televisyen dan kamera turut dihasilkan oleh usahawan yang kreatif. Oleh itu, usahawan dapat memenuhi keperluan dan juga memberi kepuasan yang maksimum kepada masyarakat.

Kesimpulannya, usahawan sememnagnya memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada pembangunan dan kemajuan negara. Usahawan dari sudut mikro, telah menekankan hubungan antara usahawan dan penubuhan syarikat serta penghasilan produk. Dari aspek makro pula, sumbangan usahawan kepada kemajuan ekonomi dan negara adalah sangat besar. Usahawan yang berjaya seperti Dato Robert Kuok turut memberi inspirasi kepada usahawan muda yang lain untuk terus memberi sumbangan terhadap masyarakat dan negara serta menjadi peneraju ekonomi Malaysia pada masa depan.


-Tan Jing Wen 2009-

No comments:

Post a Comment