Search This Blog

Wednesday, November 25, 2009

Nilai Yang Perlu ada Pada Seorang Pemimpin

NILAI-NILAI PENTING YANG PERLU ADA PADA SEORANG PEMIMPIN



DEFINISI NILAI

Nilai adalah ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat. Selain itu ia juga disebut sebagai ilmu kebijaksanaan, keadilan dan iktidal (temperance ) merupakan nilai-nilai utama masyarakat.

DEFINISI PEMIMPIN
Pemimpin merupakan ketua atau peneraju dalam sesuatu institusi baik institusi yang besar mahu pun kecil di mana tedapat golongan yang dipimpin dibawahnya. Lazimnya pemimpin adalah seorang yang mempunyai tanggungjawab dalam mengurus dan mentadbir sesuatu organisasi dalam pelbagai hal. Pemimpin juga memainkan peranan yang penting dalam membawa sesuatu organisasi atau institusi mengikut hala tuju yang dikehendaki samada ianya sesuatu yang baik atau pun yang sebaliknya.
Pemimpin melihat organisasi dengan perspektif yang lebih luas, menilai kesannya serta berusaha untuk menggembelingkan pengaruh melalui kepelbagaian kemahiran, ilmu dan kepakaran supaya apa yang hendak dilakukan memperoleh kerestuan ramai. (Kotter: 1988)




NILAI – NILAI SEORANG PEMIMPIN YANG BAIK
Seorang pemimpin merupakan seorang yang menjadi ‘role model’ atau ikutan setiap orang ynag dipimpin. Sebagai orang yang telah dilantik sebagai pemimpin, secara automatiknya beliau akan berada pada hierarki yang paling tinggi dalam organisasi dan dipertanggungjawabkan untuk mentadbir, mengurus, melaksana, memantau dan memastikan setiap objektif bagi organisasi tersebut tercapai dengan jayanya. Namun, keberkesanan pentadbiran seseorang pemimpin adalah tertakluk kepada cara pelaksanaan atau cara kerja orang yang dipimpinnya. Dengan itu, untuk memastikan sesebuah organisasi bergerak dinamik, baik dari peringkat pentadbiran hingga ke akar umbi, sesorang pentadbir atau pemimpin harus mempunyai nilai-nilai yang tertentu atau pun kualiti kepimpinan yang hebat. “Kepimpinan Melalui Teladan”, slogan yang sering dilaungkan ini merupakan asas kepada suatu bentuk kepimpinan yang berkesan dan efektif.
Untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, khususnya bagi seorang pegawai perkhidmatan awam yang telah dilantik menjadi seorang pemimpin,beberapa nilai-nilai kepimpinan atau kualiti kepimpinan perlu diimplementasikan serta diterap dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang baik. Berikut merupakan beberapa nilai-nilai yang perlu ada sebagai peimpin yang baik:
i) Amanah dan Jujur
Sebagai seorang pemimpin yang baik, sikap amanah serta jujur perlu diterapkan agar pemimpin sentiasa dihormati oleh orang yang dipimpin. Sikap amanah dapat mengelak seorang pemimpin daripada melakukan penyelewengan dalam pentadbiran. Semua tugas pentadbiran dilaksanankan dengan baik tanpa berlaku apa-apa masalah.
ii) Ikhlas
Ikhlas membawa maksud tidak mengharapkan apa-apa ganjaran sampingan demi kepentingan sendiri. Sebagai pemimpin yang baik tujuan pentadbiran atau kepimpinan hanyalah untuk kebaikan semua yang terdapat atau tergolong dalam struktur pentadbiran atau organisasi yang dipimpin.
iii) Bertanggungjawab.
Nilai ini dapat menjamin seorang pemimpin itu menjalankan tanggungjawab kepimpinannya dengan telus. Sebagai seorang pemimpin yang bertanggunjawab juga, seorang pemimpin akan bertanggungjawab ke atas setiap tindak tanduk serta arahan yang dikeluarkan terhadap yang dipimpin. Baik buruk setiap akhiran daripada kepimpinan beliau harus diterima dengan terbuka.
iv) Bersih
Bersih di sini membawa maksud nilai murni seperti tidak tamak, tiada hasad dengki, khianat, dendam dan segala sifat negatif dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Selain dari kebersihan rohani yang disebut tadi, bersih dari aspek fizikal juga merupakan nilai yang perlu ada pada setiap pemimpin. Bersih juga membawa kepada pakaian, persekitaran mahu pun kepada pemilikan harta secara sah oleh seorang pemimpin itu.
v) Bekerjasama
Seperti yang kita sedia maklum, kerja yang bermutu adalah hasil daripada kerjasama yang baik. Sebagai seorang pemimpin, nilai kerjasama yang baik perlu ada dalam sanubari. Arahan tidak cuma dikeluarkan tetapi seorang pemimpin perlu bekerjasama dengan orang bawahan tanpa mengira peringkat. Dengan ini pemimpin akan disegani dan mudah untuk melaksanakan tugas sebagai pemimpin.
vi) Dedikasi / Tekun
Dedikasi dengan tugas kepimpinan tanpa mengira penat atau lelah. Sifat atau nilai ini akan menjamin seorang pemimpin akan terus istiqamah dan tanpa jemu memimpin sesuatu organisasi atau institusi ke arah kecemerlangan. Pepatah “Genggam bara api, biar sampai jadi abu”. Jika nilai ini tersemat pada setiap pemimpin, maka institusi tidak akan mengalami kegagalan.
vii) Sederhana
Kesederhanaan adalah satu nilai yang tak kurang penting dalam kepimpinan. Kesederhanaan membawa maksud antara lainnya menolak keterlaluan ataupun kekurangan dalam pucuk kepimpinan. Pemimpin yang ekstrem akan hanya membawa kepada kepincangan organisasi. Pengikut samada akan taksub atau pun menolak terus dasar kepimpinan yang diterajui sekiranya pemimpin mengamalkan nilai ekstrem. Kesederhanaan adalah nilai yang boleh diterapkan bukan shaja dalam bentuk melaksanakan tugas seharian tetapi dalam percakapan, arahan, pergaulan mahu pun pakaian.
viii) Berdisiplin
Nilai disiplin adalah suatu nilai yang amat sinonim dengan kepimpinan. Tunggak kejayaan sesebuah organisasi adalah terus menerus berlandaskan kepada disiplin,baik di peringkat rendah malah juga di peringkat tertinggi. Patuh dan mengamalkan secara berterusan segala arahan, peraturan dan ketetapan yang dikenakan oleh sesuatu organisasi. Perkara ini yang dinamakan disiplin dan pemimpin yang berdisiplin tidak akan lari dari perkara ini.
ix) Adil
Adil membawa maksud memberikan hak kepada yang berhak serta meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemimpin perlu ada nilai keadilan ini. Pemimpin seharusnya tidak pilih kasih atau pilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua. Setiap yang dipimpin harus di beri hak sama rata tanpa mengira tahap atau perin kat. Nilai ini amat perlu dalam melaksanakan kepimpinan.
x) Bersyukur
Pemimpin yang rendah diri dan baik harus mempunyai nilai bersyukur iaitu menerima kesediaan dan rasa rendah diri untuk sebarang nikmat Allah dan sentiasa berterima kasih kepada-Nya. Bersyukur dan berterima kasih kepada yang dipimpin dan kepada orang lain yang memberi bantuan serta sumbangan dalam organisasi. Nilai bersyukur juga dapat menjadikan seorang pemimpin itu dapat melenyapkan rasa tidak puashati,keluh kesah dan marah apabila menghadapi masalah. Pemimpin yang bersyukur adalah pemimpin yang baik.
Sebagai kesimpulannya, itu di antara sifat-sifat atau nilai-nilai murni yang perlu ada dalam setiap pemimpin. Jika setiap pemimpin dapat mengimplementasikan setiap nilai yang di katakan tadi, maka akan lahirlah pemimpin yang disegani dan menjadi ikutan setiap insan. Tiada lagi berlakunya korupsi yang berleluasa di peringkat tinggi, sikap kroni atau pilih kasih dan sebagainya. Sesungguhnya setiap pemimpin perlu komited dengan tugas kepimpinan tanpa meninggalkan nilai-nilai yang baik dalam kepimpinan.

No comments:

Post a Comment