Search This Blog

Wednesday, November 25, 2009

Dasar sains dan teknologi (my assignment)

DASAR SAINS, TEKNOLOGI DAN ALAM SEKITAR MALAYSIA

PENGENALAN
Dasar Sains dan Teknologi adalah suatu dasar yang digubal berdasarkan keperluan pembangunan negara pada masa kini. Kepesatan pembangunan teknologi memerlukan negara bersaing di era globalisasi. Seiringan dengan kemajuan ini, kerajaan juga tidak ketinggalan menyeimbangkan keperluan sains dan keperluan alam sekitar. Justeru itu, kepentingan alam sekitar juga dapat dipelihara dengan adanya suatu dasar lengkap yang telah digubal iaitu, Dasar Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Malaysia.
Dasar Sains dan Teknologi (S&T) telah diumumkam pada April 1986 dan diperakui oleh Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sebagai tindakan pembangunan teknologi dan pembangunan perindustrian. Dasar ini bertujuan menggalakkan penggunaan Dasar Sains dan Teknologi sebagai satu alat untuk pembangunan ekonomi, membaiki kedudukan fizikal dan kesejahteraan rakyat serta untuk melindungi kedaulatan negara yang merupakan sebahagian daripada dasar pembangunan sosioekonomi negara.
Dasar sains dan teknologi negara memberi fokus kepada usaha-usaha meningkatkan keupayaan berdikari dalam bidang saintifik dan teknologi untuk membantu aktiviti ekonomi dengan cara mewujudkan suasana yang baik bagi menggalakkan penciptaan saintifik dan memperbaiki infrastruktur dalam bidang saintifik, pelajaran dan lain-lain lagi.
Selain itu, dasar ini juga diharap dapat mewujudkan masyarakat yang berdaya cipta dan berpandangan jauh yang mampu melakukan penyesuaian, pembaharuan dan meningkatkan pelaburan teknologi.

RASIONAL
Malaysia mesti mempunyai keupayaan untuk memaju dan menyelaraskan sumber-sumber sains dan teknologi yang ada dalam negara supaya mencapai hasrat menjadikan Malaysia masyarakat yang berasaskan sains dan teknologi yang progresif.
Rasionalnya, meningkatkan keupayaan sains dan teknologi berasaskan hasrat untuk membentuk suatu ekonomi yang cekap teknologinya, mampu melakukan penyesuaian, pembaharuan serta pelaburan yang berteknologi intensif, dan bergerak ke arah penggunaan teknologi yang canggih, mencapai alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif untuk generasi kini dan masa depan. Begitu juga memelihara dan memulihara sumber asli dan warisan kebudayaan negara yang unik dengan penglibatan secara berkesan oleh semua pihak.

PERNYATAAN MASALAH
Dalam menghadapi dunia sains dan teknologi, kita menghadapi pelbagai masalah yang mengancam alam sekitar. Perkembangan sains dan teknologi banyak mempengaruhi sumber ekonomi Negara dan ia juga mendatangkan masalah dalam perubahan bentuk muka bumi. Antara masalah yang dihadapi dalam perkembangan sains dan teknologi ialah sumber tenaga pekerja yang bergantung kepada kepakaran asing. Contohnya, dengan permulaan pengeluaran kereta Proton pada awal tahun 80-an yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad, negara kita banyak bergantung kepada kepakaran daripada negara lain terutamanya dari negara Jepun. Malaysia membeli hampir separuh daripada barangan aksesori kereta keluaran tempatan sebelum dijual. Malah, penghantaran pelajar yang berpotensi ke luar negara untuk berlatih dan menyerap kapakaran yang ada supaya dibawa masuk untuk kegunaan negara.
Walaubagaimanapun, penghantaran mereka tidak berjaya kerana sebahagian daripada mereka sanggup bekerja di luar negara kerana gaji yang ditawarkan lebih lumayan berbanding dengan di Malaysia. Pembelian syarikat automobil gergasi iaitu Syarikat Lotus telah menunjukkan bahawa Malaysia memerlukan kepakaran yang berkenaan untuk kepentingan negara.
Penghasilan enjin daripada Syarikat Lotus di United Kingdom dibawa masuk untuk kegunaan kereta tempatan. Akan tetapi, kereta keluaran tempatan masih tidak mampu bersaing di pasaran dunia walaupun sudah lebih dua puluh tahun menceburi bidang pengeluaran kereta. Selain itu, masalah yang dihadapi ialah tumpuan terhadap sektor pertanian. Di Malaysia, sektor pertanian merupakan sektor utama dalam kegiatan ekonomi Malaysia. Sektor pertanian amat popular semasa tahun 60-70 an kerana sektor ini menyumbangkan hampir 50% daripada hasil pendapatan negara. Barangan mentah yang dikeluarkan oleh Malaysia mendapat pasaran luas di luar negara terutamanya bahan mentah getah yang banyak dieksport ke luar negara seperti Jerman, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi. Senario ini menunjukkan bahawa Malaysia merupakan satu negara yang sesuai dengan penanaman pertanian. Tetapi apa yang telah berlaku ialah sektor pertanian tidak mendapat sokongan padu daripada rakyat Malaysia kerana pertanian memakan masa yang lama untuk memberikan hasil. Ini merupakan salah satu faktor para remaja masa kini tidak berminat dengan pekerjaan yang memerlukan kerahan tenaga berat tetapi mereka lebih mengharapkan pulangan yang lumayan melalui pekerjaan yang mudah dilakukan.
Bukan itu sahaja, pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak dapat disempurnakan dengan baik kerana kekurangan modal, tenaga pekerja dan juga pengetahuan yang sempurna. Harga pasaran yang tidak menentu juga merupakan salah satu faktor kepada masalah perkembangan Dasar Sains dan Teknologi, ini kerana pengeluaran sumber pertanian tidak memperoleh pulangan yang sepatutnya.
Di Malaysia terutamanya di kampung-kampung, mereka masih lagi menjalankan pertanian secara tradisional iaitu tanpa menggunakan teknologi. Contohnya penanaman padi di Malaysia masih ketinggalan berbanding negara Thailand. Ini kerana negara Thailand telah menggunakan teknologi tinggi dalam pertanian mereka. Akan tetapi hasil penanaman antara dua negara ini menunjukkan perbezaan yang nyata, hasil pengeluaran negara Thailand lebih berkualiti jika dibandingkan dengan hasil pengeluaran pertanian di Malaysia.
Selain itu, kita juga menghadapi masalah kurang galakkan dan intensif teknologi tempatan. Kekurangan peruntukan turut menjadi punca kegagalan dasar sains dan teknologi. Setiap tahun selepas peruntukan belanjawan dilaksanakan, sektor sains dan teknologi tidak mendapat peruntukan yang banyak untuk menampung perbelanjaan yang besar. Kegagalan Syarikat Invent-Q untuk meneruskan perjuangan menyelidik peralatan teknologi merupakan satu contoh di mana kerajaan tidak mampu menampung jumlah perbelanjaan yang tinggi. Kepakaran yang ada dan tidak digunakan dengan sepenuhnya juga menyumbang kepada kegagalan ini. Kebanyakan syarikat tempatan tidak mahu terlibat dalam menyumbangkan modal untuk penyelidikan dalam sains dan teknologi kerana kos yang tinggi. Justeru itu, syarikat tersebut tidak sanggup mengambil risiko jika penyelidikan yang dijalankan menghadapi kegagalan sehingga memberi kerugian kepada mereka.
Masalah yang paling membimbangkan ialah masalah pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan bahan dan sisa berbahaya. Walaupun Dasar Alam Sekitar telah dilaksanakan tetapi masih tidak berjaya menyelesaikan masalah pencemaran kerana manusia lebih mementingkan pulangan dari segi wang dan meninggalkan semangat menjaga kesihatan serta kebersihan dunia kita.

MATLAMAT
Dasar Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mempunyai beberapa matlamat. Di antaranya ialah untuk memajukan dan memperluaskan aktiviti kemajuan sains dan teknologi untuk perkembangan negara kita. Ini juga menjamin kemajuan kegiatan ekonomi supaya tidak akan menjejaskan kualiti hidup rakyat dan sumber-sumber asli secara berleluasa. Asas Dasar Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dijadikan sebagai alat pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, melindungi kedaulatan negara sejak Rancangan Malaysia ke-5 yang berpusatkan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara. Matlamat utama dasar ini adalah untuk memelihara dan memulihara alam sekitar daripada segala bentuk pencemaran bumi.



OBJEKTIF
Menggalakkan penggunaan sains dan teknologi sebagai alat untuk pembangunan ekonomi, meningkatkan kedudukan fizikal serta kesejahteraan rakyat, dan untuk melindungi kedaulatan negara.
Meningkatkan keupayaan negara dalam bidang teknologi untuk membantu aktiviti ekonomi dengan cara mewujudkan suasana yang kondusif bagi menggalakkan penciptaan sainstifik dan menaiktaraf infrastruktur dalam bidang sainstifik, pendidikan dan bidang-bidang yang berkaitan.
Memastikan alam sekitar terpelihara dalam jangka masa panjang selari dengan usaha peningkatan pembangunan negara. Kerajaan mengambil langkah penting untuk memelihara dan memulihara alam sekitar untuk meningkatkan penglibatan kerajaan secara bersepadu dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

STRATEGI DAN PELAKSANAAN
Strategi perlaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Alam Sekitar akan menjadi asas kepada keupayaan memajukan satu sektor perindustrian yang dinamik. Antara strategi yang dilaksanakan ialah memindahkan teknologi melalui mekanisme yang berkesan supaya berupaya meningkatkan pengeluaran negara dan menggalakkan program S&T. Selain itu, bilangan tenaga sainstifik atau pekerja mahir tempatan turut ditambah mengikut nisbah yang diperlukan.
Di samping itu, rancangan S&T juga telah diintegrasikan dengan rancangan pembangunan ekonomi negara dan meningkatkan perkhidmatan sainstifik dan berdikari. Malahan, pusat infrastruktur sokongan S&T juga ditubuhkan. Contohnya seperti institusi reka bentuk, perundingan teknik dan maklumat. Selain itu, strategi lain yang turut dilaksanakan bagi menjayakan dasar ini ialah meningkatkan kemahiran pengunaan komputer berlandaskan pendidikan industri dan penyelidikan serta menentukan keberkesanan pusat-pusat kecemerlangan S&T.
Bagi menjayakan strategi-strategi yang telah dirancang, beberapa program telah dilaksanakan antaranya mempelbagaikan pengeluaran tempatan yang berdaya saing dan bermutu tinggi dengan kos serta harga yang berpatutan. Malahan, rangkaian industri juga turut diperluas di dalam dan di luar negara. Manakala melalui program Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) pula, pihak PORIM, PRIM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian ini. Selain itu, program pembangunan, keselamatan dan kesejahteraan sosial turut dilaksanakan. Bagi merealitikan cara-cara meningkatkan mutu pengeluaran, kajian Pelan Induk Perindustrian (PIP) telah dilaksanakan bersama-sama kementerian perdagangan dan perindustrian. Di samping itu, rancangan pembangunan seperti dasar pembangunan nasional dan dasar pertanian negara telah diintegrasikan.
Strategi pelaksanaan S&T akan menjadi asas kepada keupayaan memajukan satu sektor perindustrian yang dinamik. Strategi yang dilaksanakan antaranya melancarkan Pelan Tindakan bagi Pembangunan Teknologi Perindustrian (PTPTP) susulan daripada Pelan Induk Perindustrian (PIP). Ini adalah program ke arah mengukuhkan keupayaan dan kepakaran sains dan teknologi. Selain itu, S&T memberi penumpuan terhadap Penyelidikan Dalam Bidang-bidang Keutamaan 1987 bagi pengurusan pembangunan sains dan teknologi berpusat dan menjadi tempat pertemuan ahli sains, akademik, industri dan penyelidik sektor awam serta swasta.
Tambahan pula, penyelidik dapat menjalankan kajian dalam bidang pertanian, industri dan perubatan. Peranan Jawatan Kuasa Kabinet mengenai sains dan teknologi memainkan peranan penting dalam menceburi bidang baru seperti teknologi automotif, bioteknologi, telekomunikasi, teknologi maklumat dan lain-lain. Selain itu, dasar ini juga menggalakkan program latihan dan pendidikan sains dan teknologi di peringkat sekolah dan universiti. Di peringkat sekolah, penekanan dalam bidang sains dan teknologi dijalankan dalam bentuk amali untuk memberi kesedaran, galakan dan mempopularkan sains dan teknologi di sekolah. Contohnya, pelajar-pelajar akan terlibat dengan pertandingan mereka cipta yang mampu mencungkil bakat dan potensi mereka seperti mencipta roket.
Strategi pelaksanaan pengurusan alam sekitar terbahagi kepada 5 aspek iaitu sala satunya adalah kualiti udara. Antara strateginya ialah mengurangkan pelepasan asap hitam daripada kenderaan berenjin diesel. Kerajaan menentukan standard pelepasan asap “50 Hartridge Smoke Units” dan menguatkuasa undang-undang berkaitan kesalahan seperti pembakaran sisa secara terbuka, pelepasan efluen serta mencegah pembuangan haram sisa toksik dan berbahaya serta pencemaran laut. Bukan itu sahaja, pemeriksaan pelepasan asap kenderaan diuji dapat mengurangkan kesesakan dan pencemaran terutama di Lembah Klang dan Kuala Lumpur di samping meningkatkan pembangunan pengangkutan LRT lalu mengurangkan kandungan plumbum di udara.
Di samping itu, kualiti sungai juga merupakan salah satu strategi bagi menilai kualiti air sungai mengikut Keperluan Oksigen, Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia, Ammoniakal Nitrigen, Pepejal Terampai dan tahap hidrogen. Penilaian secara berkesan, aktiviti pembangunan tanah tinggi dan pembukaan tanah yang menyebabkan pepejal terampai dan perubahan rupa bentuk sungai. Antara program-program yang membentuk pelaksanaan strategi ini ialah aktiviti kesepakatan JAS dengan Kementerian kesihatan Unit Kesihatan, Unit Udara Polis, Jabatan Keselamatan Pekerja dan Kesihatan.
Peraturan Akta Kualiti Alam Sekeliling (1985) turut diperkenalkan untuk menjayakan penjagaan kualiti sungai. Antara program yang lain ialah pengawasan indeks kualiti air, penilaian dan pemeriksaan pembangunan tanah tinggi dan pembukaan tanah, pengawasan kumbahan domestik, sepuluh tahun pemuliharaan sungai Kelang serta Kempen ‘Cintailah Sungai Kita’.
Manakala strategi-strategi yang dilaksanakan untuk mengawal bahan dan sisa berbahaya ialah mengurangkan jumlah sisa buangan industri, mengawasi kesan eksploitasi air bawah tanah dan meningkatkan kerjasama di antara badan-badan atau jabatan-jabatan termasuk di peringkat antarabangsa. Terdapat program sokongan tambahan iaitu penguatkuasaan, penyediaan peraturan pengamalan dan pembangunan kimia toksik yang selamat serta pelupusan sisa berbahaya yang bersepadu di Bukit Nenas, Negeri Sembilan di samping latihan menentukan kesan negatif racun terhadap tanaman melalui Akta Racun Makhluk Perosak (1974) dan lain-lain.
Tenaga dan alam sekitar menyumbang kepada strategi yang akan menjadikan S&T semakin maju dan mampu bersaing dengan kemajuan dunia luar. Oleh itu, kerajaan cuba untuk meminimumkan kesan pencemaran dan menggalakkan proses dan teknologi yang mesra alam sekitar dengan mengaitkan kecekapan penggunaan tenaga kerja.
Selain itu, tumpahan minyak juga menjadi salah satu strategi kepada dasar ini. Antaranya ialah pengawasan ke atas kejadian tumpahan minyak di Perairan Malaysia. Ia dilaksanakan melalui Pelan Kontigensi Tumpahan Minyak Kebangsaan serta kerjasama serantau menerusi Prosedur Operasi Standard (SOP).

SYOR DAN CADANGAN
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar perlu memberi penekanan yang fleksibel bagi menangani masalah-masalah yang timbul bagi meningkatkan kemahiran dan taraf hidup rakyat serta meningkatkan keupayaan teknikal. Program kemajuan teknikal perlu diwujudkan bagi memberi tumpuan kepada lepasan sekolah vokasional di Malaysia.
Selain itu, program antara institusi seperti menjalinkan hubungan institusi Malaysia dengan institusi di negara Jepun dan Korea. Cadangan bagi meningkatkan penggunaan sains dan teknologi dengan menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam program penyelidikan serta pemindahan teknologi luar perlu diberi penekanan bagi mengatasi permasalahan yang timbul. Sektor swasta perlu diberi pendedahan tentang pentingnya sains dan teknologi kepada negara dan rakyat Malaysia serta keuntungan kepada syarikat itu sendiri.
Kerajaan wajar melancarkan kempen Kesedaran Alam Sekitar di peringkat awal persekolahan di mana pelajar-pelajar perlu didedahkan akan kepentingan alam sekitar. Kempen ini dapat melahirkan generasi masa hadapan yang cintakan alam sekitar. Justeru itu peranan sektor-sektor awam, badan bukan kerajaan (swasta) perlu bersama-sama menggembleng tenaga, sumber dan kepakaran bersesuaian dengan objektif dasar sains teknologi dan alam sekitar ini. Walhal masyakat masa kini ataupun generasi yang ada sekarang ini mengambil enteng terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Pengetahuan yang cetek terhadap alam sekitar menyebabkan masyarakat kini kurangnya akauntabiliti dan integriti terhadap penjagaan alam sekitar. Kerakusan sifat manusia yang terlalu mengejar kemewahan duniawi menyebabkan mereka ini sanggup merosakkan dan memusnahkan hak-hak generasi akan datang.
Walau bagaimanapun teknologi ini bukanlah satu kekangan kepada penjagaan alam sekitar. Hal ini kerana teknologi yang dibangunkan ataupun pengetahuan berkaitan sains dan teknologi adalah suatu inovasi yang sepatutnya melindungi alam sekitar.
Kerajaan boleh mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar seperti menguatkuasa, menyediakan pengamalan peraturan dan pembangunan kimia toksik yang selamat dan pelupusan sisa berbahaya. Meningkatkan pembangunan pengangkutan Rel Transit Ringan (LRT) awam untuk mengurangkan pencemaran udara yang disebabkan oleh kenderaan bermotor.

PENILAIAN
Dasar Sains, Teknologi dan Alam Sekitar adalah penting memandangkan kepesatan ekonomi sekarang yang memerlukan persaingan yang hebat di arena antarabangsa. Demi kemajuan Malaysia, negara kita mesti maju secara berdikari tanpa terlalu bergantung kepada negara luar. Oleh itu, kami bersetuju bahawa kita mesti meningkatkan kemahiran atau kepakaran dalam bidang sains dan teknologi untuk terus berdaya saing. Dengan wujudnya dasar tersebut, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dapat memberikan kemudahan dalam proses meningkatkan kualiti alam sekitar.
Pelbagai langkah ataupun peranan ini haruslah dilaksanakan secara kolektif oleh semua semua lapisan masyarakat termasuklah badan-badan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, masyarakat dan individu itu sendiri. Sekaligus menjayakan dasar-dasar yang telah dirancang bersesuaian dengan objektif serta matlamat dasar sains, teknologi dan alam sekitar selaras perkembangan atau pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020. Seruan kerajaan ini haruslah disambut dengan baik oleh semua masyarakat dunia umumnya dan masyarakat Malaysia khususnya.



http://www.box.net/shared/qpvnf09b9v -faizal-

No comments:

Post a Comment